KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan yang praktikal dan stabil dalam menyantuni kepentingan rakyat.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, PN dibentuk daripada pelbagai komponen dan latar belakang yang meraikan kepelbagaian agama, bangsa dan negara yang wujud di Malaysia.

“Perjuangan kita bukannya bermula dengan tiba-tiba, sebab itu apabila kita sebut membina gandingan besar, kita tahu ada sejarah pembinaan gabungan politik di negara tercinta ini.

“Kerana kita ingin menumpukan perjuangan yang panjang, nak ambil kira peranan semua pihak, sama ada yang dulu atau baharu, yang awal bersama atau baru bersama, yang sealiran penuh atau sealiran separuh, kita berlapang dada, berjiwa besar.

"Kita ingin membantu mengoptimum semua yang ingin bersama berbakti kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada acara Kongres Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang juga penaung Penggerak Komuniti Negara berkata, keputusan untuk menyertai Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) dilakukan bagi membantu supaya parti itu mempunyai komponen Ahli Parlimen yang besar.

"Kita harus memilih satu wadah politik untuk masuk gelanggang untuk bantu Bersatu. Kita atas satu landasan yang betul mempunyai wadah politik yang sama. Jadi, kita bersetuju bersama Bersatu.

"Kami akan pastikan perjuangan tak sia-sia. Masa depan politik amat harapkan penerimaan pemimpin bukan berdasarkan kaum tetapi kebolehan dan bersama, berkemahiran menyantuni rakyat," katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyifatkan penyertaan mereka dalam Bersatu sebagai golongan yang akan membawa pembaharuan dan pembersihan. - Bernama


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/97825/BERITA/Politik/Perikatan-Nasional-gabungan-praktikal-stabil
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf