KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dapat bersama-sama memegang jawatan dan menyumbang idea.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata usul itu sudah dikemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan jika diterima, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan akan diadakan supaya sayap berkenaan dapat dibentuk.

"Kita akan bersama-sama dalam satu saf kerana cabaran di hadapan kita agak besar," katanya pada Kongres Negara 2020 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.-Berita Harian 22-8-2020