Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR yang digantung keanggotaan Dr Afif Bahardin, dikatakan mengusahakan mesyuarat bersama Adun PAS, Umno dan PKR di Pulau Pinang.

Berdasarkan makluman kepada media yang dilihat Malaysiakini, dikatakan satu pertemuan bakal diadakan di pusat khidmat Adun Seberang Jaya di Bukit Mertajam City Mall pada jam lima petang ini.

Dikatakan juga terdapat kemungkinan “berita sensasi” susulan mesyuarat itu.


Makluman tersebut memetik sumber dalaman dan tertera nombor telefon, dipercayai individu yang bertanggungjawab menguruskan mesyuarat tersebut.

Ketika dihubungi, individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai khas Afif mengesahkan kesahihan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, tiada undangan rasmi dihantar kepada media.

“Benar ada perjumpaan dijadualkan di Bukit Mertajam City Mall petang ini tetapi tiada sebarang sidang media akan dibuat.

“Tetapi memandangkan dah tular.

"Silakan hadir ke BM City Mall jam lima petang ini,” kata pegawai khas tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai “Hery”.

Tambahnya, rancangan mesyuarat tersebut dirahsiakan sejak seminggu lalu tetapi tidak tahu bagaimana ia tular dan dikongsi kepada media hari ini.

Sementara agenda utama masih tidak jelas, mesyuarat tersebut diadakan di tengah-tengah ketidaktentuan politik selepas peralihan kuasa daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Beberapa Adun yang dihubungi Malaysiakini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan mesyuarat tersebut.

Sementara itu, sumber lain pula berkata mesyuarat itu diadakan bagi merancang bagaimana menjadi “pembangkang yang baik di Pulau Pinang”, setelah jumlah mereka meningkat daripada tiga ke enam daripada 40 Adun.

Malaysiakini telah menghubungi Afif bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Adun Seberang Jaya tersebut digantung keanggotaan dalam PKR awal bulan lalu.

Ia dilihat sebahagian daripada proses pembersihan pengaruh bekas timbalan presidennya Azmin Ali - yang terlibat dalam “Langkah Sheraton” yang menjatuhkan kerajaan PH.

Selepas itu, Afif bersama Adun Gombak Setia Hilman Idham, membentuk NGO baru yang digelar Pemuda Negara, dengan membariskan penyelaras yang bergiat bersama PKR sebelum ini.

PKR masih belum menentukan status keahlian Afif.

Namun wakil rakyat penggal kedua itu terpaksa melepaskan jawatannya sebagai exco negeri atas nasihat dari Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Kedudukan Afif dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pula diletakkan di blok pembangkang.